Ramai orang di kalangan masyarakat kita mempercayai terdapatnya "penghuni ghaib" di dalam batu-batu perhiasan atau permata yang mampu membuatkan batu itu bertuah. Atas kepercayaan ini tidak hairan jika seseorang itu sanggup mengeluarkan wang ribuan ringgit hanya kerana ingin mendapatkan keberuntungan yang kononnya diperolehi atas sebab penggunaan batu permata tersebut.
Benarkah anggapan sebegini? Apa yang jelas, terdapat alasan yang lebih rasional dan ilmiah tentang khasiat batu permata ini berbanding sekadar mempercayai wujudnya khadam di dalam batu tersebut.
Menurut pakar Gemologi (kajian batu permata) Dr. Hisham Hashim dari Universiti Sains Malaysia, batu permata boleh digunakan untuk pengubatan kerana ianya memiliki gelombang elektromagnetik. Melalui gelombang elektromagnetik ini, batu ini dapat memperbetulkan gelombang elektromagnetik yang terganggu di dalam tubuh badan manusia, yang menyebabkan berlakunya gangguan kesihatan pada tubuh badan.
Menurut Dr. Hisham Hashim lagi, yang merupakan seorang lulusan Jurusan Geologi Universiti Sains Malaysia, "Tubuh manusia memiliki satu medan magnet. Apabila medan magnet pada tubuh manusia itu tidak seimbang, timbullah masalah seperti kemerosotan pada sistem imunisasi badan. Akibatnya tubuh badan kita akan terkena berbagai penyakit."
Gangguan medan elektromagnetik di tubuh badan manusia boleh berlaku atas pelbagai sebab, misalnya gangguan dari gelombang telefon bimbit, komputer, televisyen atau juga boleh disebabkan oleh pencemaran udara. Mengambil teknik perubatan dari Karen Ryan, Dr. Hisham menerangkan tentang contoh tiga fasa rawatan dengan menggunakan batu permata/kristal quartz.
Fasa 1
Pesakit akan melalui proses penyucian selama tiga hingga empat bulan bergantung kepada tahap kroniknya penyakit yang dihidapinya. Untuk mengoptimumkan proses rawatan, pesakit harus memakai batu quartz sekurang-kurangnya 21 hari. Di dalam tempoh ini medan elektromagnetik di dalam tubuh badan pesakit akan diseimbangkan.
Fasa 2
Di fasa ini, akan berlakunya proses keseimbangan. Pesakit akan merasakan perubahan positif secara fizikal, mental, emosi dan spiritual di dalam dirinya. Tubuh badannya akan menjadi lebih stabil. Ini terjadi kerana adanya pengeluaran toksin (racun) dan tenaga negatif dari dalam tubuh badan pesakit. Proses ini akan berlaku berulang-ulang. Selepas empat minggu menggunakan batu quartz, kebiasaannya tubuh pesakit akan menjadi betul-betul seimbang.
Fasa 3
Fasa terakhir adalah proses penstabilan, iaitu langkah paling penting di dalam rawatan alternatif menggunakan batu permata/kristal. Tempoh rawatan dalam fasa ini akan berlangsung minimum selama tiga hingga empat bulan. Dalam tempoh ini batu quartz yang digunakan perlu sentiasa berada bersama pesakit agar proses penstabilan tidak terganggu. Jika batu quartz tersebut dilepaskan dari pesakit, usaha rawatan perlu diulang semula dari fasa pertama.
Selain dari itu, Dr. Hisham juga menyarankan untuk mencapai tahap optimum dalam rawatan, sebaiknya menggunakan hanya satu jenis batu permata sahaja. Ini adalah kerana setiap batu permata memiliki getaran (vibration) yang berbeza. Pemilihan batu juga perlu sesuai mengikut penyakit yang dihidapi oleh pesakit. Di samping itu, pemilihan batu juga perlu sesuai dengan keadaan persekitaran. Sebagai contoh, pesakit yang tinggal di kawasan yang terdapat banyak gelombang elektrik, disarankan menggunakam batu permata jenis berlian atau kristal jernih. Kedua-dua jenis batu ini dianugerahkan Allah swt memiliki tenaga gelombang yang mempunyai kemampuan refleksi yang tinggi terhadap gelombang elektrik tersebut.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan